Wednesday, August 27, 2008

31 OGOS 08-Kemerdekaan Insan dan debaran Ramadhan

Menjelang 31 August tahun 2008 ini, kita..rakyat Malaysia bakal menyambut kemerdekaan yang ke 51 tahun. Seperti biasa sebelumnya, sudah menjadi tradisi Negara kita menyambutnya di Ibu Negeri, di dataran bersejarah ya’ni di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Dataran yang menjadi saksi kepada “Kemerdekaan” kita bersama. Saya sendiri pernah juga berniat untuk sendiri berada di Dataran itu untuk menyambut sama-sama hari Merdeka. Teringin juga nak tengok masyarakat di Malaysia yang rata-ratanya terdiri dari pelbagai latarbelakang berlainan, berbilang bangsa.. Pada haribulan 31 August, turun ke dataran dan menyambut sama-sama kemerdekaan Negara kita. Namun begitu ruang dan peluang senantiasa membataskan saya untuk kesana….
Hari ini, setelah usainya persembahan “Royal & Arts” sempena meraikan event Tribute to Women anjuran Bumiputera Designers Associations dan kerjasama Yayasan Dunia Melayu juga Dendang Anak Enterprise. Alhamdulillah syukur, sungguhpun event tersebut mengalami pelbagai susah payah, namun begitu diatas kejituan dan kesungguhan ianya diberkati dan berjalan lancarlah ia.. Penat memanglah penat, namun begitu apapun didalam hidup, Cabaran itu wajarlah kita sambut dengan fikiran yang terbuka kerana tiada apapun yang maha sempurna di Dunia ini. Kitapun tidak sempurna walaupun merasa sempurna, kita tetap memerlukan bantuan daripada orang lain walau se gah mana kita merasa diri kita. Demikian hari yang dinanti bakal tiba, tahun ini seperti disusun cantiknya kita menyambut Merdeka dan selepas itu Ramadhan Al-Mubarak muncul tiba. Bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam diserata Dunia.. Alangkah gemilangnya jika anda semua dapat merasa bagaimana meriahnya didada saya sedang merasa…Penantian itu amatlah ditunggu-tunggu. Seperti menunggu seorang kekasih yang kita rindui sangat-sangat untuk bersama. Penantian itu sangat menyeksakan, tetapi sekarang.. Bergembiralah! Kerana tidak lama lagi ia akan tiba.
Bercakap tentang kemerdekaan yang bakal kita sambut nanti, cuba kita tanyakan pada diri apa itu Merdeka sebenarnya? Adakah Merdeka bermaksud bebas daripada penghambaan sahaja? Jika benarlah ia maka adakah pasti minda kitapun Merdeka? Sejauhmana merdeka kita pada pemikiran kita, pandangan kita terhadap segala aspek norma hidup kita, keperimanusiaan kita terhadap orang lain, nilai-nilai murni yang diajar pada kita semua menepati pada apa yang dituntut agama? Saran saya, cuba check dan renung kembali pada diri.. Kita lemah, namun kekuatan kita adalah pada akal yang sentiasa dijadikan berfikir untuk sesuatu agar mencapai sesuatu. Alangkah sayang jika kita tidak memanfaatkannya.

Terus terang saya katakan, saya amat-amat gembira adakalanya melihat masyarakat di negara kita yang berbilang bangsa, berbagai agama dan bermacam-macam cara hidup yang berlainan namun begitu kita memahami kehendak antara satu sama lain. Saya cuba bandingkan Negara kita dengan Negara-negara luar sebagai seorang rakyat yang tidak bernegara, namun kemesraan antara kita sangat dan cukup membanggakan. Walaupun begitu, sebagai orang Melayu.. Kita harus tahu, tanah kita adalah disini. Jika kaum Mongol ada Negaranya sendiri, India ada Negaranya, Arab ada Negaranya maka dimana tanah kita kalau bukan Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu?.. Hal ini bukanlah sentiment ataupun hasutan untuk menyemarakkan api perkauman, bukan berniat untuk mewujudkan perasaan “ini aku punya dan itu aku punya” perjuangan bangsa adalah untuk kita kembali menghargai nilai-nilai budaya yang dipelihara sejak turun temurun diatas maksudnya yang tersendiri. Didalam Quran ada berkata: “Tidaklah Aku menciptakan antara dirimu berbangsa-bangsa adalah untuk kamu saling kenal mengenali”.. Maksud saya, setiap bangsa dijadikan Tuhan dengan tanggungjawab masing-masing terutama sekali memelihara amanah demi kesentosaan dan kebebasan untuk beragama. Maka tidaklah menjadi satu kesalahan kalau saya mengajak kita kembali memikirkan dan memetakan usaha agar budaya Melayu kita dijaga demi anak cucu kita nanti. Buat apa nak mencipta ketegangan antara satu sama lain?.. Kita bertelagah namun kita tetap mandi pada sungai yang sama, berpijak pada tanah yang sama. Alangkah bodohnya jika kita saling benci membenci?

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, pernahkah anda semua tertanya bagaimana dan dimana agaknya wujudnya Isu Rasis ini? Segalanya bermula sebaik sahaja negara kita dijajah dahulu.. Sebelum itu, KITA TIDAK PERNAH bertikam-tikaman! Dalilnya, bacalah sejarah kegemilangan Melaka dan andaikata anda rajin carilah sejarah-sejarah lama Melayu dan anda akan lihat bagaimana kehidupan rakyat pada masa itu. Setahu sayalah, tidak pernahlah pula saya terbaca mana-mana kisah menceritakan keburukkan dan menyuruh kita membenci kaum lain walhal didalam pantun-pantun lagi ada menggunakan “anak Cina”, “orang India” dsbnya. Tak ada pula terbaca pantun, puisi, sajak yang menghina kaum lain.. Diantara contoh yang jelas adalah bukti Melaka dulu menjadi tumpuan dan termaktub menjadi salah satu pusat perdagangan yang dikenali serata Dunia!.. Ikut logic fikiran kita, orang akan datang tak kalau orang tahu kita begitu membenci kaum serta bangsa lain? Dah tu, kenapa Melaka jadi tumpuan jugak? Adakah kerana Ekonomi sahaja, kedudukannya yang strategic ke? Tidak, perkara pertama adalah kerana layanan yang diberi, didalam perniagaanpun mengutamakan “Service” daripada perkara lain. Sebab itu Melayu dikenali sebagai bangsa yang paling lemah lembut dan sopan santun dan juga merendah diri… Namun ada juga suara sumbang mengatakan perkataan Melayu berasal dari perkataan Layu.Alangkah menyedihkan, dan alangkah bodohnya. Setiap kegemilangan ada kejatuhan, itu yang pastinya. Sepertimana yang diceritakan tadi, saat penjajahan orang asing yang datang masyarakat mulai hilang arah tuju, mereka terpaksa akur pada pimpinan yang sangat zalimnya ketika itu. Baik Portugis, Belanda, British ataupun Jepun..Masing-masing punyai niat untuk menyiat-yiat ikatan silaturrahim yang dijalin antara kaum-kaum di Tanah Melayu ketika itu.

Apa yang mampu mereka yang dizalimi pada ketika itu lakukan adalah sekadar bersabar sahaja dan redha pada ujian menimpa mereka. Seabad kemudian, generasi yang baru dilahirkan dan sedikit sebanyak terhakislah nilai-nilai kemasyarakatan yang telah wujud pada kegemilangan Melayu dahulu. Hinggalah penjajah memberi had tertentu pada bangsa tertentu, dan keistimewaan pada bangsa tertentu dan penindasan pula pada bangsa yang tertentu yang dimana mencetuskan ketidak adilan antara kaum induk yang telahpun tinggal di Tanah Melayu ketika itu. Padahal dizaman kegemilangan Melayu dulu semuanya sama, apa yang dipentingkan adalah budaya hidup antara kita tidak bercanggah dengan adat kaum masing-masing kerana yang diutamakan adalah Agama..Pokok pangkal dan akar umbi bagi kita semua. Agama mengajar kita 1001 kaedah bagaimana memuliakan tetamu, jadi jelaslah sedikit sebanyak kiranya saya ceritakan bahawa bukan Melayu yang menyeru anak-anak bangsanya untuk membenci bangsa lain. Ini semua ada gara-gara Penjajah yang telah menabur benih kebencian didalam diam pada diri kita, hinggalah kita mencipta sebuah sempadan antara kita. Peristiwa 13 Mei bukan sahaja sebuah peristiwa gelap pada Kaum Cina sahaja malah Kaum Melayu merasakan begitu, sungguhpun banyak versi yang saya dengar akan cerita 13 Mei ini namun 1 sahaja kesimpulan saya. “Kesyukuran”..kerana semuanya bermula dengan bersyukur, biarpun kita berlainan kepercayaan namun setiap agamapun mengajar kita untuk sentiasa bersyukur dan tidak tamak. Entahlah kalau ada agama lain yang ajar kita untuk tidak bersyukur.. Kejam benar Tuhan mereka. Tapi apa yang saya fahamlah, semua agama mengandungi nilai-nilai murni dan mengajar kita sesama untuk berbuat baik. Tak ke gitu? Kalau masih tidak dan salah jawapan saya, maka anda tidak bersyukurlah pada jawapan itu kerana memohon jawapan yang menagih lebih banyak jawapan lainnya.
Berbalik pada perihal kemerdekaan tadi.. Alhamdulillah, walaupun dengan keadaan yang penuh luka dan derita sepanjang zaman ini tetap kita berjaya menjaga dan memelihara “amanah” yang dikurniakan pada kita demi generasi akan datang. Semua dilakukan demi mencapai kemerdekaan yang sebenar, Kemerdekaan yang dilaungkan tiap tahun itu sekadar titik mula Kemerdekaan sebenarnya, tradisi menyambut tiap tahun mengajar kita untuk menghargai perjuangan dan mencintai dimana tanah yang kita pijak agar dengan keamanan, kesejahteraan, kesentosaan dan kebersamaan kita dapat kita rasai sama-sama TANPA sempadan kebencian ataupun sentiment luaran lagi. Malaysia adalah Malaysia! Itu semangat kita, jangan lupa dibelakang-belakang kita. Nenek moyang kita yang terkorban dan bermandi darah dan keringat untuk mempertahankan kita sekarang. Sebagai orang Islam, wajarlah kiranya kita betul-betul bernazam dengan penuh jisbah untuk menjadi seorang Hamba kepada Allah. Setelah kita melaungkan Kemerdekaan kita sebagai Hamba kepada Penjajah-penjajah Duniawi yang tidak mendatangkan sebarang faedah langsung sekarang kita bersiap sedialah untuk melangkah masuk ke “Alam Ramadhan”.

Alam Ramadhan yang dimana sebenarnya “Persiapan Diri Kita Sebagai Hamba”. Dengan 30 Hari menahan Nafsu kita daripada menguasai diri, dengan 30 hari yang pada tiap harinya ada fadhilat yang tersirat didalamnya.. Penuh dengan pengertian didalam pengamalan. InsyaAllah dihari akan datang saya akan update fadhilat-fadhilat yang terdapat didalam tiap hari sepanjang bulan ramadhan nanti. Sebagai permulaan, wajiblah kiranya kita memulakan “Budaya” yang baru ya’ni dengan memohon maaf pada kedua Ibu Bapa kita sebelum menjelang Ramadhan, kerana amalan kita tidak akan diterima bahkan tidak dipandang Tuhan sekiranya kita tidak mentaati dan memohon maaf pada kedua orang tua kita. Pastinya tiada Mereka, tiada kita. Eloklah kita lupakanlah sahaja ke Egoan kita dan segeralah bermohon maaf pada mereka.. Usahlah ditunggu-tunggu dan ditangguh-tangguh kerana esok siapa yang tahu hidup kah atau mati kah?....Tidak seperti sebelumnya, kita mintak maaf dengan mak dan ayah dipagi raya.

Besar harapan dihati saya, saya juga ingin mengambil kesempatan dengan memohon kemaafan diantara kita. Takut apa yang saya kata sepanjang jurnal saya ini menguris hati anda semua.. Maafkan saya.
Kepada pembaca-pembaca setia saya yang hingga kini mencapai lebih kurang 3600 pelawat dimerata dunia, saya ingin merakamkan jutaan terimakasih diatas penerimaan saya diarena ini. Terimakasih diatas kritikan kerana tanpa anda, saya mungkin tidak akan berfikiran optimistic sepertimana saya sekarang. Terimakasih!! Kepada yang sentiasa mengirim Email bertanyakan kemushkilan-kemushkilan kita, saya ucapkan jazzakallah kerana memberikan suatu yang amat berharga bagi saya. Yaitu Semangat untuk sentiasa teruskan celoteh panjang saya ini. Walaupun kesibukkan saya memaksa saya ada kalanya ada dan tiada.

Terakhir kali, Selamat dan Sejahteralah anda semua dimana-manapun anda berada.
Ingat, Ini semua adalah sekadar ceritera saya. Apa yang baik diambil dan buruk dibuang. Namun keutamaannya adalah kaji dan nilai semuanya sebelum bertindak atau berkata apapun.

Salam sayang dari saya,
Ku Bad