Monday, August 31, 2009

diserambi Kematian

Bismillah hir rahmanir rahim

dengan ini aku perbacakan olehmu sewarkah peringatan,
agar dikalanganmu tidak lupa padanya akan kematian,
Tuhan yang maha menquddusi nan bersifat Baqa dan Qidam,
yang berkuasa mematikan..sekalian yang bernyawa,
Tuhan yang maha menjadikan Mati serta Hidup sebagai kiasan pada ujiannya,
siapa yang mulia dan siapalah yang hina,
Tuhan yang mewujudkan liang lahad yang sempit,
namun berisi dengannya seluas-luas amaran,
kepadamu..yang hidup,
dan beringatlah bahawa segalanya musnah luluh menyeluruh,
hanya yang ada,
hanyalah WajahNya,

dan pada yang telah mati,
beringatlah bahawa hingga disaat ini lagi,
masih Tuhan menyuruh akan diriku untuk tetap memperingati,
dirimu yang berada jauh dari kesadaran hidup yang nyata ini,
beringatlah kamu pada janji-janji,
dan apa yang tlah dikerjakan selama didunia ini,
itu sahajalah temanmu yang abadi,

dan saat terlenamu,
berbalut didalam selimut putih itu,
usahlah kau bersedih pilu,
maka sebentar lagi bakal bertandanglah pula mereka,
bertanyakan padamu,

Siapakah Tuhan kamu?
yang selama ini menjadi pujaan dan abdianmu,
yang sering menjadi nyanyian jantung dan hatimu,

Siapakah Nabi mu?
yang selama ini menjadi pembentuk pribadimu,
yang selalu sahaja menjadi kekagumanmu..harapanmu,

dan kemudian bakal bertanyakan pula,

akan apa AGAMA mu?
yang dimana pernah kau perjuang,
apakah benar Susunan Hidupmu itu yang kau pegang?,

Apa nama Kiblat yang telah kau hadapkan?
adakah pastinya itulah yang kau sahutnya dengan tujuan,
dan benarkah ia kalau kau ikutinya dengan haluan kebenaran?

Siapakah Saudaramu?
yang tlah kau curahkan mereka dengan kasih serta sayangmu,
atau mungkin saja tidak pernah kau hayatinya kerana kesombonganmu?

Apakah pegangan Iktiqadmu?,
yang membuatkan dirimu teramat nekad,
hinggalah kau mengimpikan semua untuk bermuafakat?

Dan APAKAH...KALIMAH yang kamu bawa dengan mu?
adakah ianya Kalimah yang penuh kebenaran,
ataupun kalimah yang penuh dengan perasaan yang helah?

Hendaklah kau jawabnya dengan kejujuranmu,
kerana kejujuran itu sahaja yang akan membantumu,
oleh itu serahkan ia sebulat-bulat kejujuran dirimu,
yang pernah kau amalkan selama kehidupanmu dulu,

hendaklah kau ingat bahawa semua ini kenyataan,
hidup didunia ini adalah pentas pada lakonan,
di saat kematian,
tibalah masa untuk kau dinilaikan,

Allah itu bukanlah rekaan,
Nabi bukanlah dongeng yang diceritakan,
Malaikat bukanlah kisah yang dibuat-buat untuk ditakut-takutkan,
Iblis itu Bapa pada kejahatan dan Syaitan itu yang menyekutukan,

hanya kau,
diberi akal,hati serta roh untuk menentukan,
dan membuat pilihan,
diatas nama kebijaksanaan,

pilihan yang mana tlah kau buat,
pilihan yang mana tlah kau ikut,
inilah yang akan memperkuat,
apa yang bakal kau sahut dan sebut-sebut,

dan pada yang pergi ini,
ku ucapkan selamat pergi,
tinggal lah kita kini,
yang entah bila dan bagaimana diakhiri,

kerana pernah aku diingati,
cara mati itulah bukti,
pada bagaimana cara kau hidup selama ini,
demikianlah peringatan ini,

aku berundur pergi,
dan sekali lagi,
ingat dan mengingati,
bagi yang bersuara, diajarkan berkata-kata,
bagi yang tuli telinga, dibisik-bisikkan padanya,
bagi yang buta, diajar untuk menghayatinya,
bagi yang bisu untuk berbau, di didik bagaimana bau-bauannya,

kerana dengan ya muawwal wa muakkhir itu telah pasti,

setiap yang bernafas itu bakal dan akan MATI...

WALLAHUALAM BI SAHWA

jom main "Buang-buang" MELAYU!

orang yang hidup tapi bogel..itulah orang yang lupa diri.

Allah cipta tiap bangsa atas asbab untuk kita saling kenal mengenali..bukan untuk bermusuh-musuhan. apa yang buat kita " badi" dan "takut" untuk memperkatakan hal bangsa adalah kerana Mentaliti yang diajar..padahal Bangsa tak pernah bersalahpun. Agama tak pernah melarangpun.

MLAYU dibuang Mim sudah pasti Layu,
MLAYU dibuang Lam Alif, maka jadilah bangsa Miu.
MLAYU dibuang Ya akan jadilah MLAU dan kan terus terpulau,
MLAYU dibuang Wau semestinya jadi MELAI..lemah kerana hilang kemudi,

anda pilihlah mana satu yang ingin anda jadi. moga kembali sedar diri!

ini saya ambil dari comment saya di Facebook tadi, rasanya eloklah saya kongsi juga kepada sidang bloggers juga.

selainnya akan menyusuli,insyaAllah.

Friday, August 28, 2009

bagaimana rasanya apabila "Ibu" anda dihina-hinakan

saya cukuplah pantang bila orang sentuh, mengemukakan persoalan, apa lagi menyalahkan "orang Melayu"..
ada satu scenario yang baru jugak la berlaku dalam hidup saya, salah faham sebenarnya yang berlaku,
tapi adalah si polan tu kata "ini lah orang melayu, suka buat conclusion melulu tanpa usul periksa"..
tiba-tiba jantung rasa tersentap..rasa nya persis seperti ada orang menyepak kepala ibu anda didepan tatapan kedua belah mata anda,

soalan saya.. anda marah tak?

rasanya seperti tercela, terhina, terguris dan sebagainya lah yang menyakitkan diri.
didalam diri, tiba-tiba saya seorang Antagonis terhadap sang Protagonis yang menyuarakan kata-kata itu,
bahkan saat saya sedang menaip cerita ni pun dalam keadaan tangan yang berketar-ketar..
wallahualam, hanya Allah maha tahu apa maksudnya.
tapi disini tujuannya bukanlah saya nak ungkit salah orang dan menegakkan kebenaran bagi pihak saya, mintak maaf banyak-banyaklah.. dah lama saya berpencen untuk menjadi manusia sympathetic.

namun begitu, apa yang nak di kongsi adalah kaitan qalam kita dan hati kita,
dua perkara yang berbeza,
qalam letak pada mulut kita, apa yang dilontarkan menerusi getaran bunyi yang menghasilkan suara.

hati pula suatu yang tidak berbentuk, namun bertempat, tapi tak bersyariat,azalinya pada hakikat. Ia adalah bapa kepada segala anggota kerohanian diri, nadi hati adalah zikir, zikir yang bermaksud "ingatan" pula adalah APA yang anda fikirkan atau ingatkan.. Pernah tak anda melihat atau anda sendiri melatah dan kemudiannya terus mengeluarkan kata-kata yang dianggap spontan? pernah saya diingatkan oleh seorang ahli falsafah yang begitu tinggi ilmunya. Katanya kalau kita melatah, itulah apa yang kita fikirkan. Sungguhpun ia spontan, namun ia tetap datang dari akal yang sedang berfikir secara tidak anda sedari.
Kalau tersepak dan nyaris tersungkur secara tak langsung terkeluar kata-kata seperti "Aduh!" "B**t" dan sebagainya maka itulah yang sedang berada diruang fikirnya, yang paling disukainya dan fikir akan dibawa kepada hati, hati akan merasainya seterusnya dizahir pada qalam mahu perbuatan anggota.

apatah lagi bila kita meluahkan sesuatu didalam keadaan yang luar kawalan ataupun didalam lubuk kesadaran, kejujuran pada qalam tak boleh ditipu. Apa yang ditajalikan adalah kenyataan hakikat diri sebenar.

Berang, memang saya berang apabila senang-senang Melayu dituduh sedemikian rupa. Yang mengalir didalam darah daging kita, nenek moyang kita yang selama ini syahid ataupun mati katak demi kerana memelihara bangsa sendiri...KITA SEMUA!
Kita mudah anggap Sejarah satu hal yang remeh dan sudah lama lepas namun pada masa yang sama kita juga mengulangi sirah dan kesilapan yang sama seperti Sejarah telah ceritakan berkurun-kurun dahulu.

Membenci sejarah bagi saya, sama sahaja seperti membenci Al-Quran. Senang saja, tendang sajalah Al-Quran itu kalau benci dan boring nya pada Sejarah.
Kenapa saya kata gitu? kerana Al-Quran itu juga Sejarah!! Bacalah dan fahamilah ayat-ayatnya, bukankah itu semua kisah-kisah dahulu juga?

Kejadian yang tlah berlaku pada saya ini mungkin satu scenario yang sangat kecil andaikata nak dibandingkan dengan kejadian yang lebih parah dan dahsyat. Sedikit sebanyak menambah kefahaman saya akan keadaan sekarang, dari sudut Mentaliti.
Kita terlalu memandang rendah pada orang dahulu kerana mungkin "kemajuan" yang kita maksudkan itu masih tiada di era dahulu. Tak langsung, timbul lah rasa riak dan ujub didalam diri. Senang-senang kita mengubah tiap apa yang ada dan panggilnya "kemajuan". Yang lemah makin lemah dan yang gagah jadi makin bongkak. Yang kaya makin beraya, yang miskin semakin menganggur. Lahirlah "pengemis" yang ada kalangan kita juga membenci dan menolak-nolak akan kewujudannya.

Soal kemajuan, cuba kita fikir apa kemajuan sebenarnya yang kita ndak dari dunia ni? Berjuta-juta spesis haiwan, tumbuh-tumbuhan tlah kita ranapkan demi kepentingan kita buta-butanya. Pembalakan, meruntuh dan menaikkan semula bangunan baru kita dah panggil kemajuan?..Saya rasa itu satu pembaziran dan satu perbuatan kebodohan. Tak cakap lagi mengenai pencemaran yang kita telah izinkan, letupan demi letupan lombong untuk mengorek emas dan sebagainya, kita tuduh haiwan liar seperti harimau mengancam manusia.. Tidakkah kita rasa kita yang mengancam kehidupan mereka? Sejak bila Tuhan kata dunia ini kita punya? Bukan kah asbab Adam dan Hawa dikeluarkan dari Syurga dan dihantar ke dunia kerana sebuah kesilapan? Dan kerana Asbab itu maka Allah beri Peranan Adam untuk memimpin seluruh makhluk seterusnya 24 Rasul serta beratus-ratus Nabi dilahir untuk menyusun semula kehidupan disini? tak cukup lagi kerana perihal manusia ini semakin bermacam-macam, Allah lantik Khalifah, Wali, Ulama dan Mujahid pula demi memperingatkan kita semua bahawa disini hanya persinggahan sahaja. BUKAN milik kita. BUKAN HAK kitapun.. Raja, Menteri, Sultan atau Rakyat disisi Allah SEMUA SAMA. yang di ukur tetap amal,ibadat,peranan dan tanggungjawab kita...tak akan ada maknanya VVIP atau VVVVVVVIP pun..

Jadi mengapa soal kemajuan duniawi ini kita sibuk sangat kejarkan, tapi bukannya soal kemajuan DIRI sendiri, kemajuan DIRI dengan keluarga, DIRI dengan Sahabat, Kawan, Teman, kemajuan DIRI dengan kehidupan.. Mengapa itu bukan di utamakan tapi masih kemajuan sektor perindustrian, pembangunan bla-bla-bla...masih tidak cukupkah bagi kita atas apa kerosakkan yang tlah sama-sama kita sumbangkan?

Sering saya di ingatkan, berjaga-jagalah ketika berkata. Ada pepatah berbunyi, kerana mulut badan binasa ini semua berlaku kerana qalam kita tak dijaga. Tak perlu dipukul atau disepak, lambat laun Kifarah itu akan dapat. Allah akan adilinya sendiri. Tidak perlu tunggu sakit untuk dipanggil Kifarah, contoh paling nyata adalah dikalangan "orang gila" ataupun istilah doktor: Sakit Jiwa. Itupun Kifarah, namun ingatlah bahawa "orang gila" yang kita benci itu adalah antara orang-orang yang akan masuk syurga paling awal bersama yang Syahid, Anak Yatim dan sebagainya yang tlah difirmankan oleh Allah taala.

beringatlah ketika kita memperkatakan sesuatu, menghina dan memperlekehkan rumpun bangsa sendiri sama sahaja seperti menghina Ibu dan Ayah kita sendiri kerana Ibu adalah pemimpin dari sudut Bangsa dan Ayah adalah pemimpin Agama.
dan didalam kes saya lalui ini, menyalahkan bangsa bukanlah alasan pada kesilapan, itu mentaliti individu empunya diri, bagaimana dia berfikir.. Jangankan kerana kita rasa kita dah Master dalam Sejarah kita perasan telah ariff pada semua, zaman sekarang telah berlaku banyak kekeliruan dan banyak kekusutan.
Saya sendiri melaluinya dan menghadapinya bahkan akan meredahinya lagi, anda tak percaya anda cubalah laluinya sendiri.
Baik dari segi ideologi kita, Matlamat ataupun Sejarah sendiri. Kebenaran yang benar tidak semudah diminta, kebenaran akan datang pada hati yang nekad inginkan kebenaran..dan saya bukanlah disini menunjuk-nunjuk serba tahu dan alim. Kita semua hidup dalam belajar, maka jadilah muridNya yang murad menyampaikan hikmah dan menceriterakan serba kebaikan mengenai yang menjadikan kita, bukanlah diri ini.. saya sekadar seorang Antagonis yang melawan Protagonis masakini yang berbondong-bondongnya.

moga dimengertikan bagaimana rasanya apabila "Ibu" anda dihina-hinakan.

"tak apa..semuanya akan indah".



"tak apa..semuanya akan indah",
ku pujuk diri setelah duduk dan terus menadah,
memohon kekuatan agar perjalananku terselamat dari semua tipu helah,
mengeluh pada hati yang serba gelisah, tiada menentu dan gundah,
menangis itu tidaklah menjadi suatu yang salah,
selagi yang mendengarnya hanya Allah..Allah..dan Allah,

kerna ternyata memang tersangatlah susah,
bagi memahami jiwa manusia..sering saja ku mengalah,
wujudnya disampingku hanyalah sementara..dijadikan sekadar tempat untuk mereka singgah,
helaian demi helaian terbakar oleh masa..tak pernah ada sebuah halaman yang tersempurna dan abadinya didalam satu kisah,
mencuba menarik nafas yang lega dan memujuk lagi diri.."tidak apalah..semuanya akan indah",

kepalaku sering saja jadi pening..hingga memikir itu buat otak ku nak terpecah,
menggengam tangan pendirian mereka-meraka yang sudah tentu berubah-ubah,
jatuh bangun kiranya aku mengharap pada mereka masih tetap merapuh dan merebah,
apa kenanya kalangan yang merasa hebat, sombong dan egois walhal itu semuanya intipati pada Amarah?,

demikian aku harus berdiri sendiri dengan gagah!,
tetapi terduduk juga kembali..berkaca retaknya rupa hati dan akhirnya remuk lagi,
keranamu yang buat saktiku tersakiti..dan jasad ku terus melemah,
mengerang kesakitan yang tiada tara dan akhir menanggung padah,
dengan titisan demi titisan air dari kedua belah perigi pancainderaku,
kemudiannya menjadi lelehan sungai yang menerusi segala dinding-dinding batu kekebalan yang jarangkali tertumpah,
akhirnya aku mengalah,
dan padaMu Allah..ya,bagiku terserahlah......
pada getaran alunan suara yang cuba ku qalamkan,
sebaknya tak usah kau andaikan,
buat terakhir kali aku memujuk diri,
"tak apa..semuanya akan indah".

gelap?,

terang?,

susah?,

senang?,

"tak apa..semuanya akan indah".

suka?,

benci?,

sayang?,

diselingkuhi?,

"tak apa..semuanya akan indah".

sebabnya biarlah aku kehilangan semuanya, jangankan aku hilang sedetik masa untuk tidak memperingati CintaMu,
Ya Allah.

Wednesday, August 26, 2009

Air mata ku

Anak-anakku,
duhai jiwa suci,
engkaulah yang maha suci,
tiada nilai ganti,
hai anak-anak pewaris janji..

Anak-anakku,
lama mana harus ku tunggu,
mengisi ruang dan menanti hadrimu,
namun begitu,
tetap ku yakinkan diriku,
suatu hari akan tiba dan menjelma dihadapan kedua mataku,
disaatku menyingkap jendela melihat kedatanganmu,
hasil doa restu yang terdahulu..

Anak-anakku,
ketahuilah bahwa ini saja pesananku,
aku mungkin penyair namun tak dapat berlagu,
aku mungkin pejuang namun tiadalah ingin bagi diriku,
untuk dikenali ramai..usahlah kau tanyakan namaku,
aku akan hilang..hanya begitu.
kerna ku tahu..akulah dalang itu,
yang membuatkan mereka marah hinggalah aku diburu,
segalanya kerana hadirmu,

Anak-anakku,
Tuhan tidak mengajar kita untuk membenci,
....usahlah mereka itu dikau sertai,
dengan Tuhan tersiratnya sebuah janji,
.....yakinlah hanya itu sahaja yang wajib kau patuhi,
Tuhan itu Allah hu rabbil alamin,
oleh itu waspadalah dengan segala tipu daya,
jangan terlena pada mentera dusta,
berjaga-jagalah kala membawa lentera,
jangankan ia terpadam seluruh semesta.

Anak-anakku,
pahlawanku...serikandiku,
mujadid-mujadidku,
saat inilah yang ditunggu-tunggu,
bangkit dengan keperkasaan Imanmu,
berdiri tegakkan Agamamu,
dikaulah sebenar-benar Melayu,

yang diperlihara pada maksud Kebenaran,
hai Pejuang Agama..Akhir Zaman.

Tuesday, August 18, 2009

apabila kita mempersoalkan cara untuk memiliki Dunia didalam dakapan.

baru sahaja kelmarin berlalu,
adalah aku ditemukan seorang pemuda ni.. lingkungan baya saya juga lah,
tapi terlalulah dia semangat didalam mengutarakan hal-hal serta isu politik ini.
saya malas lah nak bagitahu pemuda ini penyokong mana, baik dari pembangkang ataupun yang tidak dibangkang.
bagi saya,
1,
politik itu kekarutan-KOTOR,
dan tidaklah saya pula menyokong pemerintahan monarki,
darah dan nama tetap kerana siapa nenek moyang saya,
tapi itu bukanlah alasan mengapa saya harus menyokong mana-mana pihak namun bacalah sendiri riwayat-riwayat dahulu bagaimana jayanya pemerintahan saat kegemilangan Sultan Malikul Saleh,Sultan Muzaffar hinggalah ke Raden Fatahillah sebelum jajahan.
Keruntuhan dahulu juga bukan kerana pemimpinnya, tapi salah antara sesama sendiri juga.
pokoknya, saya orang Melayu yang sama seperti anda. Pengiktirafan itu dari Tuhan, bukan saya untuk tentukan.

tapi disini bukanlah saya nak mengutarakan hal-hal yang berbaur sentimen tidak baik.
tapi tujuan utama saya sekadar cuba menjernihkan apa yang keruh.
keutamaan saya adalah soal diri..bukan majoriti.

berbalik pada kisah tadi,
adalah celotehnya yang berjela-jela juga panjangnya, semua lebih kearah kesilapan.
kesilapan demi kesilapan yang berlaku, apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan.
Sambil mengeces gulungan tembakau, saya hanya mendiamkan dan mengamati luahan rasa tidak puas hatinya. Saya jangka, andai anda berada dimeja sebelah. Kemungkinan besarnya anda akan sangka dia sedang menceritakan hal "gaduh dengan awek", kerana raut mukanya begitu kusut dan seperti ingin menangis. Hal sebenarnya adalah hal politik, yang mungkin menjadi prime obsession nya didalam hidup....
Bab 2 ke bab 3...terus ke bab 4. begitulah lamanya, didalam hati saya ada jugak bertanya, "mamat ni..tahu tak aku ni tak minat langsung cakap pasal politik?"
oleh kerana dasar hormat, saya cuba dengarkan saja lah apa nak dikatakan.

Kalau tak silap sayalah, paling akhir didalam celotehannya itu, dia ada kata bahawa ideologi-ideologi yang bukan-bukan sekarang..itu semuanya salah atasan,
yang membiarkan ia menular. Hingga kini kita kehilangan maruah, kita kekeringan budaya dan adab kerana mereka..SEMUA SALAH MEREKA!

mengerut letih mukanya setelah itu, air yang sudah surut diganti dengan segelas lagi Nescafe.

sunyi melanda pada jangka 5 saat rasanya, akhirnya saya pula bersuara padanya.

saya tanyakan pada dia, "saudara, apa sebenarnya yang saudara marahkan?"

dia jawab, "saya kesal kerana pemimpin yang sambil lewa, yang mendengar rintihan seperti hiburan, mungkin mu dok rase susahnya sebab mu tergolong juga dari golongan "atasan" "

nah, itulah dia silap kita.. terlalu cepat untuk percaya kata-kata manusia yang tak berkepala, selalu saja buat kesimpulan dengan suka-suka, Kesusahan- kita tak nak dengar, Kesenangan- mudah-mudah saja nak jadikan "modal" untuk di iri hati kan...pernahkah kita fikir bahawa pembahagian rezeki itu telah ditentukan oleh Tuhan buat kita, hanya jangka kemahuan itu terletak pada diri?

saya jelaskan padanya maksud politik, dan politik apa yang Nabi galakkan.
adalah ia politik yang bersih itu bukan politik yang menindas kalangan yang lemah dan mentakir-takir golongan yang kuat dengan harapan satu hari akan ia rebah,
Nabi ajar politik tidak untuk menceritakan keburukan serta keaiban sesama kita, kerana diakhir segala-galanya adalah tetap kita mim alif nun sim ya - MANUSIA!
Tujuan reka bentuk politik itu wujud untuk membentuk sesebuah institusi yang berwibawa, yang pandai memilih dan pandai membuat keputusan agar kita tetap kekal YAKIN pada apa yang kita buat, YAKIN pada apa yang kita sokong, YAKIN pada mana pemimpin yang kita pilih, bukan ke YAKIN itu maksudnya IMAN dalam arab? Jadi pokok nya tetap YAKIN. Silap membawa ideologi-ideologi bukan-bukan itu bukannya silap mana-manapun kerana dizaman sekarang, tak dapat yang membendungnya kecuali dengan keYakinan..apa yang kita pegang itukan keYakinan kita..terserah pada apa pilihan dibuat.tetap keYakinan itu jadi soal utamanya.

namun sedih rasanya kita lihat sekarang, saya pembaca setia kepada karya budayawan dan pendakwah bebas indonesia, Cak Nun, Emha Ainun Nadjib.
Pernah disatu artikel nya, saya cukup tertarik kepada kata "Rakyat itu Kanak-kanak abadi"
ya, itu sangat cukup dan jelas bagi saya untuk fahami. dan selama 22 tahun melihat sana sini kehidupan, rasanya saya dapat simpulkan bahawa Rakyat itu sama seperti Kanak-kanak sifatnya,
benar saja ada diantara kita terkandung dari orang dewasa ataupun tua, yang bijaksana didalam bidang kerjaya nya, namun didalam konteks atau himpunan yang menyatukan individu pada kumpulan besar masyarakat bergelar "Rakyat".

Rakyat ibaratnya seperti sebuah sosok jasad, ada dikepala, ada dikaki, ada di tangan, ada didada, ada dibahu. Rakyat adalah anggota, juga sama lah seperti terciptanya nama TERENGGANU.
percaya atau tidak, kebetulan atau rekaan, saya seru anda semua fikirkan sejenak mengenai Negeri saya ini,
yang kalau di kaji padanya ada 7 daerah kesemuanya.
Ta bermula di Besut,
Rha-Setiu,
Nga-Hulu Terengganu
Ga-Kuala Terengganu
Alif-Marang
Nun-Dungun
Wau-Kemaman
..insyaAllah di hari akan datang, kita bakal ceritakan mengapa dan apa membuatkan setiap daerah itu mewakili setiap abjad jawi TRANGGANU.
namun apa yang ingin saya terangkan disini adalah jika sesebuah daerah itu mewakili kelompok kecil penduduk,
yang kemudiannya digabungkan pula menjadi satu nama, maka terciptalah sebuah Negeri.

Apabila wujudnya sebuah negeri maka terlahirlah lembaga "Rakyat". lebih jelas, jasad rakyat.
andai pemimpin yang berperanan sebagai "Ayah" melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik maka baiklah ia, jika tidak maka segala hormatnya tergolonglah dia didalam kalangan yang curang terhadap sejarah.
Apa lagi yang kita nak pada Sejarah kalau kita tak belajar darinya?

Maksud Kanak-kanak abadi yang dita'rifkan pula, cuba kita rangkumkan kesemuanya.
tenung betul-betul setiap sorotan yang berlaku disekeliling kita,
saya cukup pasti anda juga akan tertanyakan "bila rakyat itu dewasa?"
diberi satu benda, jadi rebut-rebutan.. selalu saja ada tak puas hati.
susah amat untuk bersatu.

Namun begitu, adakalanya kita perlu berhenti..
pusing,
dan lihat diantara kita, bukanlah menggali silap serta malu peribadi..
"idea" kita bukan itu, selalunya fikir pada arah membantu diri ini sebagai seorang yang lemah dan rapuh kala sendirian didalam wilayah yang gelap.
Ubat yang utama didalam merawat kebingungan ini semua adalah kembali kepada mempersoalkan APA tuhan mahukan, bukan APA kita ingin kan..
cukup-cukuplah mengarutkan impian kosong,
dah terlalu banyak rasanya kita berpinta-pinta hinggakan mengorbankan tiga suku nyawa-nyawa untuk kembali Agung konon-kononnya "itu aku punya".

walhal selalu jelas,
apa yang ada bukan kekal dikedua belah tangan,
bahkan menggengam tanah itupun belum tentu kita sanggup buat selama-lamanya,
ada juga akhirnya rasa seperti satu perbuatan yang bodohnya,
ada juga merasa tercabar dan ingin membuktikan kebenaran yang disangka olehnya namun masih tumpas juga,
dah itu?,
jangan pula dibicarakan soal tanah yang berekar-ekar luasnya,
tak usah lagi lah nak kata memiliki benua,
apa lagi,
apabila kita mempersoalkan cara untuk memiliki Dunia didalam dakapan.
bukankah itu kerja Tuhan?

besar harapan saya moga dimengertikanlah semuanya secara positif, dengan kelapangan dada dan kesejukan jiwa untuk menerima dimana silapnya diri.
agar satu hari anak-anak kita selamat untuk beragama.
wallahualam.

Sunday, August 16, 2009

SELAMAT PITAM, SELAMAT KELAM, SELAMAT HITAM, SELAMAT MALAM!

helaian demi helaian usia berderai didalam andaian...
kesampaian kita ke haluan hikmah serta kebenaran..
ramadhan demi ramadhan..kalau masih tiada perubahan
maka kesilapan itu telahpun jadi kesalahan
dan pada kesalahan itu tiadalah murka
sekiranya ia disengaja-sengajakan.
-170809 01:51AM

Saturday, August 15, 2009

katanta berahi

menyebut namamu,
penuh dengan senyuman,
terasa nyaman,
didalam kekalutan..

ku alunkan sewarkah mentra,
terkandung padanya puja-memuja,
seindah-indahnya ku berkata-kata,
mendendangkan dzikir yang hadirnya berkurun lama,

kedua belah tanganku menggengam kuat,
mencengkam hinggalah ke belikat,
keberahian..nafas turun dan meningkat,
rohku kini melompat-lompat,

menuju pada yang Maha Satu,
pemilik tiap rongga yang ada,
Maha Satu..pengisi segala ruang hidupku,
mustahil lah kesempurnaan wujud pada dua,

Ya...Hu!,
Ya...Haq!!,
memanggil-manggilmu,
kala keseluruhanku ini adalah milikmu...

dan katanta berahi ku ini, ku sembahkan pada kesetiaanku.

"pelacur"

saat terlewati olehku pada sebuah pesta kolokan,
kiri dan kanannya masih belum pasti yang mana perlu diberatkan,
adinya aku hairan lantas zahir satu persoalan,
barangkali mungkin kerana INI ramai dikalangan,
sangatlah obral didalam hal "pelacuran?",
pujian demi pujian,
hinggalah terbawa pergi mentajalikan kata pujaan,
yang benar disalahkan,
yang salah diperbetulkan,
ataupun dibela-bela kan,
hingga terlahir lah kalangan pelacur,
pelacur dan merelai untuk dilacuri,
melacur hinggalah mengorbankan maruah serta harga diri,
jadi balingan-balingan oleh si bajingan,

teringin saja aku ludahkan kahak berdarah ini pada muka mu,
yang hanya mengerti akan keselesaan dirimu,
bagaimana anak-anakmu itu?,
siapakah yang menjaga saat tidur mereka jadi serba sengsara?,
siapa yang membela saat pergelutan fikiran bercanggah antara kita sesama?,
siapa yang sepatutnya menjadi ayah yang berjasa?,

betapa haru,
mereka menanggnung kezalimanmu,

tercela akhirnya terjadinya kecelakaan,

jangan dibilang kotor-kotornya bahasa,
usah dibicarakanlah kata-kata kesatku di meja mesyuaratmu yang jelik itu,
berhenti,
dan cubalah fahami,
siapa pemalang yang digelar jalang ini,
dan mengertikan bahawa tiap malam mereka tlah menumpahkan sebekas airmata,
yang padanya memiliki nilai dan niat mulia hanyalah untuk menjadi insan mulia,
sepertimu juga,
namun kerana serakahmu,
mereka tetap begitu,
terbiar oleh mu leka terhadap tanggungjawabmu.

Friday, August 14, 2009

kedaluwarsa baginya dan mungkin bagimu juga

Telahpun senja mengundurkan diri,
beredar dari suatu sudut pandangan hingga menghilang dan melabuhkan kapi,
lantas malam menjelang mengepak-ngepakkan sayap biru ke hitamannya,
bermula satu halaman cerita,
seorang hamba,
yang murung bermurung bersahaja,
bersimpuh remuk jiwanya,
serba celika,
celika terhadap segala-galanya,
baginya..
dia telah tersangatlah bosan pada para fajir fajirah itu,
yang sering menunjuk-nunjukkan padanya untuk menambungi,
bukan sahaja pada diri..bahkan pada kedua orang Tuanya...

oleh kerana itu..dia disini,
dia sedang mencoba untuk melakoni apa yang gustinya Tuntuti,
di hatinya bukan sahaya mendenyutkan kata "Aku ingin mengquddusi diri ini"
bahkan jikalau kau pendamkan telingamu kedalam,
ia mendenyutkan ungkapan yang sememangnya selalu hadir,
pada tiap diri insan yang tiada cenangga,
slalu memaksa darah untuk beredar mengikut rentaknya,
yang juga menunjuk kepada asbab mengapa diri ini tersangatlah diimbangi,
hanyalah pada satu nada bunyi,
"dup..dup..dup...dup!"
yang tak akan berhenti sekiranya ia disuruh untuk di henti,
hakikatnya adalah
"Allah..Allah.. dan Allah semata-mata"

hamba itu menitik air matanya,
kerana tersangat merasa,
betapa dekatnya dia.. pada yang dipuja,

kedaluwarsa baginya dan mungkin bagimu juga untuk kembali berakal,
dan tidak hanya cenderung pada khayalan Cinta tipu daya yang sengaja-sengaja..

Monday, August 10, 2009

siapa yang gila?

siapakah yang lebih gila?
adakah diri mereka yang digelar gila?
ataupun diri kita yang sering tergila-gilakan pada sesuatu yang bersifat material dan tidak kekal?,
diri kita yang sering mengharapkan akan kemustahilan,
siapa yang lebih gila?

bagaimanakah kita tahu persis akan kewarasan diri yang sebenar?
apakah LAYAK bagi kita untuk menilai diri yang tidak seberapa sempurna kini?
siapa kah diri kita yang TIDAK gila ini?
dimanakah bukti yang kukuh bagi memperkuatkan kenyataan kita yang dinafikan kegilaanya?
dimana?
dan siapakah yang lebih gila sebenarnya?

adakah diri mereka yang berpakaian compang camping serta tidak terurus itu yang digelar gila?
ataupun diri kita yang berpakaian kemas dan sangat terurus namun sangat dan teramat memuja akan yang namanya kuasa itu?
mereka tidak pernah sesekali bersungut pada ketidakselesaan..
mereka terus saja didalam kehidupan walaupun diri mereka disisihkan,
mereka tidak pernah sesekali mengumpat mengenai seseorang disamping menikam sahabat sendiri hinggakan sanggup mengorbankan maruah dan darjat kemanusiaan,

justeru kehinaan mereka yang sering kita gambarkan,
lebih mulia daripada diri kita yang sengaja-sengaja menempah keruntuhan moraliti,
mati didalam diri sendiri,
bernafas didalam denyutan hati bangkai..

"orang GILA!" "orang GILA!"...LARIIIIII!!!

Aku dengari pada hari yang pernah ku lalui...

namun si dia yang "Gila" itu hanya menoleh dan mentertawakan mereka-mereka yang lari bertempiaran...entah kenapa..

sekarang,

siapa yang gila?

monolog hujan

gerimis rebah manja dipangkuan malam...
ia mengusik dan menyanyikan gemersik keindahan suara alam,
sedangku berqalam...

bayangmu menjelma..memberikan salam,
pabila ku hulurkan kedua belah tangan,
cahyanya langsung terpadam,

buatku mabuk menggila hilang dan karam,
terpasak diri ditanah kini,
terkelu...
terdiam.......

harap yang tlah ku ukir kini menanggunglah akibatnya sendiri,
hinggalah aku terpaksa mendakapi diri ini menyendiri dibawa alunan...sunyi.