Thursday, April 30, 2009

Catitan Airmata-Khamis-30 April 2009

Jam 0535 pagi, tiba dirumah.
Pulang dengan perasaan yang serba keliru-keliru.. Adakala terasa sedih, sayu pun ada dan sukar bagiku untuk mengukirkan senyuman yang sungguh hipokritnya.
Kenapa? Kerana terjadinya sebuah kisah yang membuatkan ku terpaksa ceritakannya demi untuk kesedaran kita bersama. Sebagai seorang manusiawi yang berperikemanusiaan, rasanya wajar buat kita fikir-fikirkanlah akan cerita yang bakal diberitahu ini.

Bermulanya ia sekitar jam 2321 malam Rabu, ketika itu malam begitu dinginnya..Tubuhku yang tak tertahan dengan desiran embun yang melimpah halus-halus pada jasadku yang kurang sihatnya..Sepatutnya saya berada dirumah, walhal ada beberapa temujanji ditangguhkan atas alasan nak berehat kerana Demam. Tapi kerana panggilan Sahabat saya, Ahmad yang mengajak saya keluar untuk menonton perlawanan bolasepak UEFA Champions League di Bistro saya rasa saya perlu jugak keluar ambil angin.

Beberapa minit kemudian, Ahmad sampai dirumah saya. Kami keluar dengan Land Rover. Ketika itu lah berlaku satu kejadian, ianya berlaku ketika saya lalu dijalan tepi pantai lama belakang rumah saya. Sekilas pandang ketika berada didalam kereta, kami terperasan ada seorang warga tua berusia dalam lingkungan 70 tahun, bersongkok, janggut beruban, berbaju kemeja collar dan seluar slack dalam keadaan yang kusut sedikit. Bersamanya ada membawa semacam benda kerana tangan kirinya seakan-akan membawa sesuatu yang disimpan didalam bajunya itu.

Setelah berfikir dua kali, kami pun reverse semula dan tanya pakcik tu, dari mana dan nak kemana? Tapi jawabnya lain pulak, kelihatan mukanya agak sedikit keliru dan terkejut. Namun dia mintak tolong kami hantarkan dia balik, so kami tanyalah dia dimana rumahnya? Jawabnya, "Mok kite wi sokmo pitih ke kite dulu, lening takdok doh"... saya sangkakan pakcik ini sedikit masalah dalam pendengaran lah so saya ajaklah dia naik sekali dan pergi minum air dulu sebelum hantar dia dengan harapan agar nanti dia buka ceritalah.Rupa-rupanya dia menghidap penyakit "Demensia" atau nyanyuk..

Bila sampai di kedai, saya orderkan dia secawan Nescafe dan saya pula order Limau Nipis suam.. beberapa minit kemudian, sampailah air. Saya bagitaulah pakcik itu, "Minumlah pok. Karang(Nanti) sejuk dok sedak doh"..tiba-tiba pulak dia nak cuah separuh Nescafe tu dalam air saya tadi, katanya dia tak biasa minum dengan orang dia tak kenal. Saya cakapla kat dia bahawa saya tak ada masalahnyapun, kalau saya nak Nescafe saya akan order lah lagi. Tapi tetap dia berkeras nak jugak tuang, saya pergilah ambil gelas kosong satu dan kemudiannya saya yang tuangkan.. Dah selesai minum, pakcik pulak taknak berganjak dari tempat duduknya itu, puas memujuk sampai saya terduduk diatas tanah terus mengadap dia kerana lama sangat nak pujuk dia ikut kami hantarnya.

Hampir-hampir 20 min ada pujuk dia untuk naik kereta, bila ditanya lain dijawab lain. Tuhan sajalah tahu.. Tapi akhirnya kami berjaya memujuknya, saya pimpin dan bawa dia terus ke kereta. Oleh kerana pakcik itu rendah orangnya dan Land Rover itu tinggi keretanya, saya terpaksa mengangkat dia naik kereta. Bila dah bergerak kami terus menuju ke hospital besar. Sampai disini, saya turun ditempat emergency dan terus ke bahagian pendaftaran. Saya ceritakanlah keadaan saya dan bagaimana saya berjumpa dengan pakcik tersebut. Beberapa jawapan diberi dalam keadaan yang begitu dingin sekali, bagi saya walaupun sungguh bukan bahagian atau department dia pun. Wajarnya dia patut dan wajib fikir bagaimana nak bantu orang-orang begini, dah namapun kerja dengan kerajaan mestilah khidmatnya untuk masyarakat itu priority utama.. Saya akhiri perbualan saya dengan kakak di bahagian registration itu dengan berkata: "cube mu fikir skek(sikit) kalau mende ni jadi ke ayoh mu"..

Langsung terus saya keluar dan minta bantuan dengan orang-orang dibahagian menyambut pesakit kecemasan, saya ceritakan semula pada mereka dan mereka setuju untuk tengok pakcik tersebut dikereta. Setelah bertanyakan beberapa soalan dan check keadaannya. Mereka kata Hospital tak boleh terima warga tua sebegini, berbagailah alasannya diberi (yang saya enggan ulas panjang). Lepas tu, saya mengambil keputusan untuk ke Balai Polis sahaja setelah menerima syor daripada doktor in charge disitu, 10 minit perjalanan daripada Hospital ke Balai akhirnya sampai.

Saya minta sahabat saya pergi masuk ke dalam sementara saya menjaga pakcik itu. Saya tak putus asa dan masih terus cuba bertanyakan dimana tempat tinggalnya. Namun jawapannya tetap sama sahaja, hinggalah seketika kemudian dia diminta masuk ke balai untuk disoal siasat agar dapat dibuat laporan. Saya bawa dia ke dalam balai dan bermulalah satu lagi scenario yang kurang menyenangkan bagi saya, mungkin sebahagian daripada anda setuju menggunakan teknik kekerasan untuk mendapat informasi dengan mesra namun adakah patut agaknya warga tua ditarik-tarik bajunya dan dihembas ke kerusi? fikirkanlah.. Sehingga sekarang, saya masih merasakan bahawa salah itu datang dari saya, kerana tak kiralah apapun kerjaya kita pilih namun kita tetap perlu ada adab serta tertib sebagai manusia biasa.. Saya ulang, tak kiralah siapa kitapun, hormat tetap no 1.

Jadi perkara seterusnya yang berlaku tidaklah saya salahkan pakcik itu, dia lari dari keadaan disitu kerana rasa diancam agaknya, namun begitu saya cuba pujuk dirinya tetap cakap elok-elok hinggakan sampai kehujung pagar balai pun dia terus berjalan. Saya pujuknya sekali lagi naik kereta dan bercadang untuk bawanya berehat di Markaz Persatuan HATI terletak di Nibung yang tak jauh dari situ.

Sampai sahaja di Nibung, pakcik itu terus beragam. Nak ke warung pulak pada jam 1 pagi..Saya cakap padanya mana ada bukak warung masa macamni. Dia enggan mendengar dan terus melulu ke tengah jalan, Ahmad pergi teman dan pujuk dia sementara saya cuba menerangkan kejadian yang berlaku pada salah satu anak pada tuan rumah dikampung tu. Sebentar lagi, dengar pulak suara pakcik tu dah naik. Dia marah-marah dan mengamuk pulak dan begitu tidak senang dengan tindakan kami, katanya kami ganggu dia dan bertanya pada kami "Apa salah saya?...Mu nok buleh sakit ke?" sambil berlegar-legar ditengah jalan besar sekitar kampung tersebut. Kawan saya macam tak reti dah nak pujuk macamana lagi.. Saya pulak pergi pujuk dia dan menariknya dari tengah jalan, dia naik berang dan marah lagi. Tiba-tiba ada kereta datang pada arah jalan yang kami sedang berada dan pakcik tu pulak betul-betul duduk ditengah jalan. Saya tarik dia dan sekali lagi dia marah, genting betul saat tu kereta dekat sangat dengan dia..Saya pulak bimbang dengan keadaan dia begitu, dia berdegil tiba-tiba saya pulak angin dan marah dia, "dok reti ke ni tengoh jalan??! cuba ingat Tuhan, bawak mengucap panjang!!"...dia tak berlawan tapi terus kan berjalan hingga bermain didepan tanah perkuburan berhampiran situ pulak. Dah mula nak capai dan cari kayu pulak nak bedal kami, kehulu kehilir cari kayu. Kejap pegi terus, kami heret dia ke Markaz dia pergi semula..Hinggakan saya dah naik buntu, tak tahu macamana lagi nak pujuknya. Kami biarkan dia pergi sebentar tengok sejauhmana dia berjalan, kami fikir lambat laun dia naik penatlah. Tapi tak penat jugak, masih main dicelah-celah rumah orang...Sekejap Ahmad pergi dekat dia, saya perhati dari jauh. Sekejap lagi saya pergi dekat dia, Ahmad pulak perhati dari jauh...Begitulah sehingga saya minta kawan saya di Markaz itu ambil kereta saya yang enjinnya belum lagi dimatikan, ditinggalkan begitu saja di depan Markaz..

Sejenak selepas itu, lebih kurang 2 Km dari tanah perkuburan Nibung, pakcik tu duk main-main didalam kawasan rumah orang yang berpagar pulak. Kami tak berani dah nak masuk, kereta sampai dibelakang dan saya naik. Saya dah tak tahu sangat apa nak buat, saya duduk bingung..Kerana tak tahan sangat sebak didada, selepas tinggalkan pakcik tu dan hantar kawan saya di Markaz, sayapun menangis. Iya, buat tahun ini saya menangis buat kali pertama.. Saya tak pasti sebab utama mengapa saya menangis, kerana keadaan yang berlaku sepanjang bawak pakcik itu terlalu bercelaru, penuh dengan rasa kekecewaan perbuatan manusia yang tak ada nilai kemanusiaan, anak yang penting diri, tak ada ihsan dan sangat-sangat hipokrit dengan diri.. Segalanya tersingkap didalam secebis kejadian. Apa yang pasti adalah saya yakin saya mampu bantu dan buat yang lebih baik dari itu, dan meninggalkan dirinya begitu saja menunjukkan saya ini Muslim yang Munafik..Pembohong dan pendusta semata-mata.

Kami sepakat untuk cuba buat terakhir kali, kami pusing semula ke tempat terakhir pakcik tadi berada. Saya turun, dan kemudiannya pakcik itu lari ke rumah belakang pula, dia capai batang penyapu didepan rumah tersebut seperti memberi maksud "jangan ganggu aku" tapi kali ini kami pula yang cuba berdegil. Namun kali ini, ujiannya sedikit dahsyat lah. Dari mula, paling teruk pun pakcik itu hanya naikkan suara sahaja, tapi kali ini dah gertak nak hayun dengan penyapu pulak. Bila kami tak ganggu dia, dia ganggu rumah orang pulak. Dia ketuk-ketuk pintu rumah orang tu, saya tengok di anak tangga selipar-selipar yang ada hanyalah selipar kecil-kecil saja yang banyak dan hanya ada 2 pasang saja yang besar. Menandakan anak-anak kecil ramai dirumah itu, pakcik tu ketuk-ketuk bagai nak gila. Hinggakan saya terperasan rumah-rumah jiran semua menjenguk menyaksikan telatah pakcik itu. Sementara Ahmad berada di rumah hadapan bersama anak tuan rumah menceritakan hal sebenar yang berlaku untuk mengelakkan salah sangka. Saya pulak jenuh memujuk, "Sudah-sudahlah pok, ni rumah orang, jangan buat gitu..mari saya hantar balik"..pakcik tu berhenti kejap, kami heret ke kereta hingga sampai nyaris-nyaris pintu kereta tu kena saya kerana pakcik tu tutup sendiri dengan begitu kuat, terkejut jugak tambah pulak percubaan dia untuk gigit tangan saya berkali-kali. Saya pulak ketika itu memang dah dekat dengan dia, dia tepis dan terus menuju kerumah belakang tu kemudian ulangi lagi perbuatan tadi iaitu mengetuk pintu suruh bukak.. MasyaAllah..saya sampai rasakan seperti seorang anak yang memujuk ayah je. Kalau saya dah sampai gitu fikir, saya rasa tak hairanlah kalau pagi nanti jiran-jiran akan sangka benda yang sama. Kalau abang rumah depan tu tak ceritakan hal sebenar. Dan begitulah hal yang berlaku, kali ini.. Lama sangat ambil masa untuk buat keputusan, saya dan Ahmad bermesyuarat.

Keputusan terakhir setelah berbincang, akhirnya kami sepakat untuk tangkap pakcik tersebut dan masuk kedalam kereta secara paksa. Dengar seperti kasar perbuatannya, namun saya rasa ada baiknya jika saya tinggalkan pakcik ini di tengah-tengah bandar daripada di celah-celah perkampungan. Kalau dah nak ajak balik ke Markaz untuk berehat semalaman pun tak nak dengar, usah kata bawak balik. Alternatif terakhir adalah tinggalkan dia ditengah-tengah pusat bandar Terengganu dengan harapan agar anak-anak atau saudara mara pakcik itu berjumpalah. Untuk "tangkap" pakcik tu, Ahmad terpaksa cuba terkam dia ikut belakang sementara saya pulak kena cepat tarik batang penyapu tu dari genggamannya. Dah buat benda tu, dia buat pulak satu lagi hal iaitu menjerit-jerit minta tolong. Ikut hati, memang kasihan sangat. Cuba anda bayanglah warga emas merayu mintak tolong, tak sampai hati, batal niat kita kalau buat apapun. Namun saya terpaksa berkeras, begitu juga dengan Ahmad.

Dah berjaya masuk dalam kereta, saya minta tolong Ahmad drive kereta sementara saya jaga pakcik itu dibelakang. Siapa kata tak melawan? Melawan lagi, siap gertak nak tumbuk. Saya bimbang kalau dia tumbuk nanti karang saya pulak bertindakbalas semula, jadi saya ambik risiko peluk dia..Berdebar-debar jantung rasanya, teringat pulak kisah Mike Tyson gigit telinga Holyfield semasa saya berpelukan dengan dia. Alhamdulillah tak ada apa-apa, hanya percubaan dia untuk keluar dan mengamuk dalam kereta ajalah. Tak boleh duduk diam, khuatir dia ganggu driver, silap haribulan ketiga-tiga pulak arwah karang...Terpaksalah saya sendal dia rapat ditingkap sampai dia tak boleh bergerak buat sementara sehinggalah sampai di Tanjung dimana kami sependapat untuk tinggalkan dia disitu kerana suasananya yang selalu ada orang.

Apabila sampai disana, kami turunkan pakcik itu. Dan kelihatan ditepi benteng ada beberapa orang sedang memancing, saya pergi kat diaorang dan jelaskan kisah yang berlaku dan bagaimana kami berjumpa pakcik tersebut hingga terpaksa kami tinggalkan dia disini kerana kami fikir disini sahaja tempat yang terbaik. Adapun pemuda disitu, rasanya orang kampung situ cakap dia rasa pakcik tu familiar disini, maksudnya sering dilihat bermain sekitar Tanjung ni. Katanya lagi anaknya adalah seorang peniaga kedai makanan disekitar kawasan ini. SubhanaAllah...dalam hati saya, setelah saya cuba pelajari dan fahami Asma ul Husna, saya yakin bahwa Allah itu Ya Wajid melalui pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang pengalaman hidup saya dan kali ini juga benar lagi bahawa Allah itu Ya Wajid, Allah itu Maha Menemukan..dan tak saja-saja apa dilakukan. Bahkan kejadian inipun dah ditentukan oleh Allah sejak azali lagi, namun perihal diri manusia itu masih masalah kita. Kita tak reti untuk buat keputusan dan kita sombong diri pada Tuhan, kita rasa kita puja Tuhan padahal kita menyembah berhala ke Aku an diri sahaja..

Besar harapan saya, kali ini biarlah kisah ini kita baca dengan penuh penghayatan dan pemahaman, gila atau tak gila, demensia atau tidak itu no 2. Namun ayah tetap ayah, ibu tetap ibu dan keluarga tetap keluarga. Soalnya, mengapa ada diantara kita suka sangat biar tanggungjawab pergi begitu sahaja?
Walhal, merekalah yang mengusahakan kewujudan kamu bahkan merekalah asbab lahirnya kamu. Dimana dalil kesyukuran kita? dimana erti pengorbanan kita dan dimana bakti kita pada mereka? Dimana???

Tambah pulak para cerdikpandai, Ustaz-ustaz dan semua ilmuan yang kebanyakkannya bercakap tanpa berbuat. war-war tentang kebaikan tapi dalam diam sanggup makan bangkai saudara kita sendiri..Yang banyak "perasankan" pada hari depan, padahal hari depan sendiri pun yang semabo.
Pernah tak kita terfikir pada nilai kemanusiaan?
Kalau ada betul, dimana persatuan-persatuan yang ditubuhkan untuk membela nasib mereka-mereka yang inginkan bantuan?
Yang jelas dipandangan mata dan fakta, saya rasa kalau nak bandinglah dengan Islam. Agama lain jauh lebih bersungguh-sungguh didalam membantu sesama kita. Siap hulur bantuan dan beri tempat perlindungan. Kita ada tak?? Mungkin kalau ada pun yang tak berapa bersungguh-sungguh. Kenapa? Kerana tak ada untung, welfare. Tambahan pulak event welfare ni boleh lari dari cukai.. Maksud kita ada tak itu masih belum terjawab lagi, kerana kita sering buat tidak kerana dari diri namun kita slalu pentingkan pandangan orang lain. Dan bila orang lain caci kita, kita kecewa pulak.
Kisah ini mungkin perkara baru bagi saya, bagi anda wallahualam.

Namun itu yang sangat menyedihkan saya..kita diambang kematian pada bila-bila masa saja namun kita masih berlagak seperti esok itu milik kita.
dan moga catitan airmata ini berakhir disini sahaja.

Asslamualaikum.